Objektif Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit (IDRC)

. Terakhir dikemaskini: 24 Mac 2014Jumlah paparan: 4547

Umumnya, tujuan penubuhan IDRC adalah untuk menghalang penyakit, ketidak-upayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit dengan melakukan kerjasama dengan badan-badan lain yang berkaitan sama ada di dalam atau di luar negara.


Objektif spesifik IDRC ialah untuk mengukuhkan penyelidikan asas dan gunaan dalam semua aspek penyakit berjangkit termasuk bio-perubatan, epidemiologi, klinikal dan aspek tingkah-laku. Selain daripada menyediakan ujian-ujian makmal yang relevan untuk mempertingkatkan pengawasan, penyertaan serta keupayaan bertindak pantas semasa wabak, IDRC juga melatih anggota-anggota dan menyediakan perkhidmatan runding cara dalam pengurusan pesakit yang menghidap penyakit-penyakit berjangkit.


Skop aktiviti IDRC meliputi penyelidikan, perkhidmatan diagnosa, pengawasan penyakit berjangkit, sebagai pusat rujukan, latihan, depositori kebangsaan, jaminan kualiti dan runding cara.


Makmal-makmal di IDRC turut menyediakan khidmat sokongan untuk penilaian kit diagnosa yang baru, agen-agen antimikrob dan racun serangga. IDRC juga terus bekerjasama dengan badan-badan berkaitan untuk mengukuhkan sistem informasi penyakit berjangkit di Malaysia menggunakan teknologi informasi terkini.


Teras utama penyelidikan di IDRC adalah terhadap penyakit bawaan vektor, zoonosis, jangkitan penyakit daripada komuniti, jangkitan nosokomial, ketidakupayaan badan melawan penyakit berjangkit, penyakit baru dan eksotik, penyakit yang ditransmisikan secara seksual (Hepatitis dan HIV), dan perkembangan serta penilaian teknologi baru dan inovatif.