Pengenalan kepada Unit Informasi Kesihatan Integratif

. Terakhir dikemaskini: 28 Jun 2022Jumlah paparan: 4513

Selamat Datang ke Unit Informasi Kesihatan Integratif!

Unit Informasi Kesihatan Integratif adalah unit di Pusat Penyelidikan Perubatan Herba (HMRC) yang dikhususkan untuk mengumpul dan menyebarkan maklumat yang disahkan mengenai tumbuhan ubatan ke arah pembentukan perubatan bersepadu. Sejak penubuhan Unit ini pada tahun 2001 di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, kami telah memperluaskan kemampuan pencarian literatur dan meningkatkan jumlah pegawai yang mahir menghasilkan ulasan pantas mengikut pertanyaan yang diajukan kepada kami. Pejabat kami kini bertempat di Institut Kesihatan Negara, Setia Alam, Selangor. Kegiatan utama yang dijalankan oleh unit ini memberi tumpuan kepada penyusunan maklumat mengenai tumbuhan ubatan untuk menghasilkan pangkalan data komprehensif yang mengandungi maklumat etno-perubatan dan saintifik yang berfungsi sebagai rujukan yang sahih untuk manfaat para penyelidik.

Tema utama penyelidikan kami di Unit informasi Kesihatan Integratif adalah penerbitan berasaskan bukti yang dihasilkan sebagai buku (contoh kompendium, monograf), laporan teknikal, infografik dan penerbitan jurnal. Tumpuan utama kami adalah kepada isu-isu terkini berkaitan dengan maklumat berasaskan bukti yang diperlukan untuk kegunaan perubatan herba dan perubatan tradisional dan komplementari (PT&K). Kami sedang merancang untuk mengembangkan lagi Unit ini sebagai sumber bioinformatik untuk penemuan petunjuk potensi terapeutik baharu berasaskan tumbuhan ubatan terhadap pelbagai sasaran farmakologi.